CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 12 Julai 2008

Bahaya Minuman Berkarbonat

Populariti minuman berkarbonat umum mengetahuinya samada di kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak. Disertai dengan iklan di media massa yang cukup menarik. Populariti minuman berkarbonat sentiasa mendapat tempat di kalangan pengguna yang kurang mengambil berat tentang aspek kesihatan tubuh badan mereka. Sesuatu yang merisaukan apabila sikap rakyat negara ini yang terlalu gemar kepada minuman jenis ini, yang lebih mesra dipanggil ‘air gas’ dalam bahasa pasar.

sejak tujuh tahun yang lepas, kadar obesiti rakyat negara ini meningkat daripada 20 peratus kepada 39 peratus, sesuatu yang membimbangkan kita, kerana pengambilan minuman ini juga menyumbang kepada masalah berkenaan.Artikel itu juga menyebut bahawa hanya 14 peratus daripada rakyat Malaysia, mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat. Ini nyata merupakan satu hakikat yang menggusarkan kerana rata-rata mereka yang ketagih minuman berkarbonat ialah remaja dan kanak-kanak sekarang ini.

Berbagai jenama sering dipaparkan dalam media massa. Walau apapun jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama — Mengandungi banyak gula. Satu tin air berkarbonat, mengandungi kira-kira 10 sudu gula, hampir dua kali melebihi pengambilan yang disarankan oleh pakar pemakanan, iaitu enam sudu gula sehari, bergantung kepada pekerjaan dan kegiatan harian yang dilaksanakan.

Tarikan iklan yang menceritakan ‘keasyikan’ dan ‘kehebatan’ menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan. Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga kini mula menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah. Sedar atau tidak, kini kanak-kanak mula akan menjadi mangsa kerana kealpaan dan sikap suka mengambil mudah kita terhadap aspek kesihatan anak-anak. Jesteru, kanak-kanak mula menjadi antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa. Kita mula memberi penyakit kepada mereka tanpa kita sedari.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti. Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.
Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.
Obesiti di kalangan kanak-kanak membimbangkan
Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.
Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry keluaran Julai/Ogos 2004 di Washington mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.

Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini. Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.
“Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula."
Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.
“Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan."
“Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain,” katanya.
Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan ‘mencairkan’ kepekatan minuman berkarbonat.Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.
Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai.
Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah ‘bahan perangsang’ yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.

Prof. Suhaila Mohamad dari Fakulti Sains dan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam satu kajiannya berkata, kafein bersifat ’Diuretic’ (tindakan yang menyebabkan banyak air dikumuhkan). Menurut beliau, lazimnya sifat yang diuretic menyebabkan individu yang mengambil kafein akan kerap membuang air kecil.

Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Pantai, Kanimolli Arasu pula berkata kesan akibat pengambilan kafein bergantung kepada kekerapan dan jumlah pengambilan bahan itu.
"Ia mempunyai kesan lebih tinggi kepada kanak-kanak kerana saiz tubuh mereka yang kecil. Justeru, kafein cepat diserap dan mudah diedarkan kepada seluruh badan dalam masa yang singkat pada kanak-kanak berbanding orang dewasa," jelasnya.
Beliau berkata, secara umum, kanak-kanak yang mengambil terlalu banyak kafein seperti minuman berkarbonat akan kurang minum susu. Ini menyebabkan pengambilan nutrien seperti kalsium berkurangan.
Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.
Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan. Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.

Artikel-artikel bebas yang mengatakan minuman berkarbonat daripada beberapa jenama terkenal mengandungi bahan haram seperti ekstrak babi dan sebagainya.
Salah satu daripadanya turut mengatakan bahawa minuman berkarbonat (dalam tin) mengandung peluntur yang cukup kuat hingga mampu digunakan untuk membersihkan mangkuk tandas kediaman kita.
Ia menjelaskan, ini dapat dilakukan oleh kerana kandungan asid sitrik (citric asid) yang tinggi dalam minuman berkarbonat.
Artikel tersebut, juga mendakwa bahawa sebotol minuman berkarbonat juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah karat. Sejauh mana kebenaran artikel-artkel tersebut bagaimanapun tidak diketahui.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat. Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong. Janganlah kita memberi penyakit kepada anak-anak tanpa kita sedari. Biarkanlah mereka menangis hari ini kerana tidak mendapat air berkarbonat yang mereka sukai. Jangan kita sebagai ibubapa menangis kerana anak kesayangan kita terlantar sakit pada masa akan datang.

0 comments: