CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 1 Ogos 2009

Cara pegang pensil dan kesannya kepada pembelajaran kanak-kanak

Setelah melakukan ujian saringan DMA di beberapa buah sekolah kebangsaan sekitar daerah Besut, (setakat ini hanya 3 buah sekolah kebangsaan lagi yang belum dilawati daripada 13 buah sekolah) saya mendapati 90% murid-murid yang berada di kelas pemulihan khas, yang menjalani ujian VMI kendalian saya, mengalami masalah cara memegang pensil dengan betul.

Hasil pemerhatian saya semasa ujian tersebut dijalankan, kebanyakan murid-murid tadi mengalami masalah psikologi yang tidak dapat ditafsir oleh para guru kerana kekurangan pengetahuan dari aspek tersebut.


cara memegang pensil yang salah.

Kemahiran paling asas sebelum sesi awal pembelajaran di usia murid berada di peringkat Pra Sekolah iaitu cara memegang pensil dengan betul harus diberi perhatian oleh para guru. Melalui soal selidik dengan guru-guru terbabit, mereka mengakui bahawa kini murid-murid tidak ditunjuk ajar cara memegang pensil dengan betul.

Fenomena yang saya dapati, murid-murid ini akan mengalami gangguan visual-psikomotor yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada penguasaan pembelajaran yang diajar oleh guru.

Masalah yang berlanjutan tanpa dibaiki sudah pasti akan memberi kesan langsung kepada pembelajaran murid berkenaan.

Selain murid mengalami masalah tidak memegang pensil dengan betul, mereka juga tidak meguasai teknik melakar huruf dan angka dengan betul. Rata-rata melakukannya mengikut keselesaan dan cita rasa sendiri asalkan perlambangan simbol tersebut dianggap betul oleh mereka.

Saringan yang dilakukan saya, mendapati murid akan mengalami masalah dalam pembelajaran untuk menguasai kemahiran yang lebih kompleks lagi yang diajar guru, selagi kemahiran mudah tidak mereka kuasai. Bagaimana mungkin mereka mampu menguasai kemahiran yang lebih abstrak dan kompleks sedangkan kemahiran asas mereka masih terkial-kial untuk menguasainya.

Saya dapat merasai stress dalam diri mereka berdasarkan bentuk jari mereka ketika mereka memegang pensil sewaktu menulis.

Setelah menguji DMA mereka, ada antaranya mempunyai aras yang lebih tinggi tetapi persoalannya kenapa mereka berada di kelompok murid yang lemah menguasai pembelajaran?

Kebanyakkan guru yang bersama saya sewaktu menguji murid mereka mengakui bahawa sukar untuk mengkatogerikan murid berdasarkan keupayaan aras perkembangan otak sebenar murid kerana kekurangan kepakaran. Tidak dinafikan kerana kumpulan guru peripatetik di seluruh Malaysia hanyalah tak sampai 50 orang setakat ini.

Mungkin pihak kementerian boleh membuat sesuatu untuk mengatasi masalah yang dianggap remeh ini tapi mempunyai kesan yang cukup besar.

Jikalau kita dapat mengesan tahap DMA murid seawal di tahun 1, nescaya kita tidak lagi mempunyai murid yang lemah dalam pelajaran.

Contoh: Terapi untuk memulih murid yang bermasalah memegang pensil dengan betul.

Sejenis alat yang digunakan untuk membantu murid cara memegang pensil dengan betul.


Alat ini sudah tersedia mempunyai acuan yang memaksa jari berada di kedudukan yang betul.


Murid akan membiasakan jari mereka menulis dengan menggunakan alat bantu tersebut.

Kita akan berbicara beberapa faktor yang mempunyai kaitan langsung mengenai perkara ini dalam penulisan saya seterusnya.