CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 19 Julai 2008

Bahaya Makanan Ringan (Junk Food)

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengandaikan makanan segera yang semakin popular di kalangan rakyat negara ini umpama bom jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda. Malah, Dr Chua menyifatkan makanan segera lebih berbahaya daripada rokok dan minuman keras kerana ada kes pengambilan makanan bermula sejak bayi lagi.

“Pengambilan makanan segera sejak usia bayi lagi menyebabkan sistem badan kita lemah dari awal lagi kerana kita sudah terdedah kepada kandungan gula, garam dan lemak yang melebihi paras minimum yang diperlukan badan kita.”

“Tidak keterlaluan jika kita letakkan tahap bahaya makanan segera sama taraf atau lebih tinggi lagi berbanding rokok atau minuman keras,”
Dr Chua berkata, pengambilan makanan segera sejak usia bayi dikenal pasti penyumbang utama peningkatan mendadak penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Dua puluh tahun lalu, hanya enam peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu (kencing manis), tetapi kini sudah meningkat kepada sembilan peratus dan jika amalan mengambil makanan segera berterusan, tidak mustahil jumlah pesakit akan meningkat 12 hingga 13 peratus pada 2020 nanti,” katanya.
Kenali apa itu makanan ringan?
Makanan ringan boleh dikategorikan sebagai makanan kurang khasiat yang memudaratkan kerana ia mengandungi karbohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam dengan kadar yang tinggi, di samping rendah ataupun tiada langsung bahan serat, protein, vitamin dan zat-zat logam di dalamnya (Ask The Dietitian-‘Junk Food,’ Joanne Larsen (MS RD LD), 1996, di dietition.com).
Malahan ia sebenarnya mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang. Ini dibuktikan dengan penggunaan mononatrium glutamate, gula, garam, bahan pewarna dan pengawet yang tinggi, yang bertujuan mengekalkan kesedapan dan kesegaran. Namun, segala bahan ini dikenalpasti sebagai agen utama kepada masalah kesihatan, seperti kanser, kerosakan gigi, obesiti (kegemukan) dan jantung berlubang. Misalnya, satu kajian yang pernah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas kanak-kanak sekolah menunjukkan 89% daripada mereka mengalami kerosakan gigi, 60% diserang penyakit gusi dan 20% lagi berada di tahap serius dan memerlukan rawatan doktor gigi

Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah"(Surah Al-Baqarah ayat 172)
Nabi Muhammad bersabda: "Jauhilah sesuatu yang memudaratkan..."; (Riwayat Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah)

Pelbagai Makanan Ringan

Kek dan kuih-muih mengandungi kadar gula yang tinggi dan kadar vitamin serta zat-zat logam yang amat rendah.

Minuman jenis cola juga mengandungi lebihan gula dan kadangkala ia dicampurkan dengan sejenis dadah yang boleh membawa kepada ketagihan, iaitu kafeina. Ais krim pula mengandungi banyak gula dan lemak.

Minuman jus buah-buahan yang dijual di dalam botol kebanyakannya tidak mengandungi jus buah-buahan asli, sebaliknya mengandungi banyak gula, air, bahan pewarna dan perisa tiruan. Kentang goreng atau potato chips pula mengandungi kadar lemak dan garam yang tinggi yang memudaratkan (The Smart Food, Junk Food, The Learning Network Inc, 2001, factmonster.com/ipka/A0768674.html)

Makanan Ringan Dan Darah Tinggi

Makanan ringan amat berbahaya kepada kesihatan apatah lagi apabila ia diambil selalu. Pengkaji-pengkaji dari Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakersfield California, dan Prevention Concepts, Inc. di Los Angeles, pernah menjalankan satu kajian yang melibatkan 200 pelajar sekolah dan mendapati lapan daripada sepuluh pelajar-pelajar itu mengambil lebihan lemak tepu melalui makanan ringan. Ujian makmal menunjukkan, satu pertiga daripada mereka mengandungi kadar kolesterol di dalam darah yang tinggi dan 10% daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi.
Kajian ini jelas menunjukkan lebihan lemak tepu yang terdapat di dalam makanan ringan akhirnya menyempitkan pembuluh darah dan menjadi penyebab kepada penyakit darah tinggi terutamanya apabila umur seseorang sudah meningkat (CBC4Kids Daily News Story, The Dangers of a Junk Food Diet, March 16 2000, cbc4kids.ca/general/whatsnew/daily-top-stories).

Makanan Ringan Dan Asma

Di dalam kajian yang lain, ahli-ahli sains dari Scotland dan Saudi Arabia mendapati makanan ringan merupakan penyebab utama berlakunya peningkatan penyakit alahan dan asma di kalangan kanak-kanak. Kajian ini yang melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit asma dan 200 kanak-kanak lain yang tidak menghidapnya mendapati, mereka yang kurang mengambil sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu lebih mudah diserang penyakit ini. Kes-kes asma didapati meningkat sebanyak 50% di dalam jangka masa 10 tahun (Junk Food Linked to Child Asthma, Richard T. Herrick (MD), Titan Support Systems Inc, USA, 1998, titansupport.com/people/medical/childasthma).

Makanan Ringan Dan Sakit Jantung

Makanan ringan berbahaya kepada jantung. CNN.com.health bertarikh 14 Mac 2000 melaporkan, makanan} ringan meningkatkan risiko remaja menghidap sakit jantung. Ia berpunca daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat di dalam makanan ringan pada hari ini. Penemuan ini dibentangkan di dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim, California (CNN.com.health, Study: Junk Food Raises Teens' Risk Of Heart Disease, Elizabeth Cohen, March 14, 2000, .cnn.com/2000/HEALTH/03/14/teen.arteries/

Makanan Ringan Dan Kesan Pada Otak

Makanan ringan juga boleh merosakkan fungsi otak. Satu kajian telah di lakukan di Baycrest Centre for Geriatric Care di Universiti Toronto, Kanada, berhubung dengan perkara ini. Mereka mendapati makanan ringan yang memang mengandungi lebihan lemak, merosakkan daya konsentrasi dan ingatan otak. Hal ini disebabkan, otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik sedangkan lebihan lemak mengganggu peranan glukosa itu.
Profesor Carol Greenwood, seorang pakar sains dari Kunin-Lunenfeld Applied Research Unit di Universiti Toronto merumuskan, makanan ringan yang mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi dan karbohidrat yang rendah pastinya bukan makanan yang sesuai untuk otak manusia (Junk Food Impairs Brain: Study, Steven de Sousa, Feb. 26 2001, University of Toronto, newsandevents.utoronto).

Makanan Ringan Dan Buta

Mereka yang banyak mengambil makanan ringan yang tinggi kadar lemaknya, menghadapi risiko yang tinggi menjadi buta apabila berumur dalam lingkungan 55 tahun. Penyakit ini yang dikenali sebagai macular degeneration sering menyerang perokok-perokok namun sekarang ia juga menyerang peminat-peminat makanan ringan.

Penemuan ini yang dimuatkan di dalam Archives of Ophthalmology, dilaporkan oleh pakar-pakar sains dari Massachusetts Eye And Ear Infirmary di Amerika, selepas melakukan kajian ke atas 349 orang pesakit yang berumur di antara 55 hingga 80 tahun. Semua ini mengesahkan tentang bahaya makanan ringan yang popular di kalangan masyarakat moden pada hari, justeru pengambilannya perlu dikawal sebelum kemudaratan yang lebih teruk menimpa ke atas diri kita (ABCNEWS.com, Blinded by Junk Food? Study: Snacks May Be Bad For Vision, Aug. 15 2001,
abcnews.go.com/sections/GMA/GoodMorningAmerica).

Tambahan daripada itu, kajian oleh para saintis dari Universiti Oxford, England, mendapati pengambilan makanan ringan juga meningkatkan peratus keganasan dalam masyarakat. Peningkatan ini begitu ketara dalam masa 50 tahun ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan khasiat-khasiat tertentu, terutamanya omega-3, jika seseorang banyak mengambil makanan ringan. Omega-3 membantu di sudut pengawalan emosi seseorang.
Untuk renungan
Kesimpulannya;
Setiap hari iklan TV memaparkan iklan makanan & minuman segera yang berjaya menarik hati kanak-kanak. Sehingggakan kanak-kanak lebih mengenal KFC, McDonald, Pizza, BurgerKing , Coca-Cola, FN. Makanan & minuman ini mengandungi perasa, pengawet dan pewarna yang bila diambil setiap hari, setiap bulan setiap tahun akan akibatkan penyakit orang kaya seprti darah tinggi, diabetes, kanser, sakit jantung sehingga keluarlah istilah “mati segera” kepada peminat makanan & minuman segera.
Makanan ringan seumpama racun yang begitu mudah diperolehi dengan harga yang murah. Ianya begitu terdedah kepada kanak-kanak sekarang. Apatah lagi pengaruh daripada iklan di kaca TV yang sentiasa menggamit kanak-kanak untuk mengambilnya. Tanpa bimbingan daripada ibubapa, pemberian makanan ringan kepada anak-anak di rumah seumpama kita memberikan racun kepada mereka tanpa kita sedari.
Kita hanya menyedari bahawa itu adalah racun apabila anak-anak kita jatuh sakit dan menderitai penyakitnya untuk jangkamasa yang lama. Sewaktu itu barulah kita menyesali kealpaan kita selama ini.
Marilah kita jauhi anak-anak kita daripada mengenali makanan ringan yang begitu banyak terjual di pasaran. Jauhilah anak-anak kita dari racun berpenyakit ini demi masa depan mereka.

Ahad, 13 Julai 2008

Kontrak Sosial : Sesuatu Yang Perlu diketahui

Petikan: Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat
tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

Diet mata dan Otak

Petikan dari : Kosmo (9 Julai 2008)


IKAN makerel antara yang menawarkan kandungan omega-3 yang tinggi.

MASIH ingat lagi sewaktu kecil kita dilarang memakan banyak ikan kerana akan kecacingan. Tetapi mungkin anda pelik, pada masa yang sama ibu kerap mengingatkan anda jangan lupa menikmati minuman minyak ikan Scott's Emulsion.

Kedua-duanya berasal daripada sumber yang sama - ikan. Walaupun secara khususnya, terdapat pelbagai jenis ikan yang menawarkan variasi jenis nutrisi dan gizi makanan, tetapi hampir kesemua ikan menawarkan sumber protein yang menyumbang kepada asid lemak omega-3.

Yang membezakannya hanyalah jumlah nutrisi yang ditawarkan mengikut jenis ikan, kandungan lemak, umur ikan, air di persekitaran dan cara penyediaan makanan.

Ikan menjadi penyumbang utama protein untuk badan manusia. Ia menyediakan 17 hingga 20 peratus dalam diet kebanyakan individu. Semua orang tahu protein penting untuk pertumbuhan dan perkembangan semua anggota badan.

Protein membantu membina tisu, kulit, rambut, kuku dan organ dalaman lain. Namun, kajian mendapati ikan tidak hanya terhad dengan fungsi itu. Dua jenis komponen utama asid lemak omega-3 ialah minyak yg diaktifkan secara biologikal - asid eicosopentaenoic (ERA) dan asid docosahexaenoic (DHA).

Lantaran itu, dua manfaat asid lemak omega-3 yang berjaya diteroka oleh saintis ialah kebaikan untuk kesihatan mata dan otak. Ini kerana ERA didapati penting dalam mengurangkan risiko penyakit kardiak, manakala DHA adalah struktur komponen yang penting untuk sistem saraf manusia.

DHA juga amat penting untuk perkembangan otak dan mata terutamanya kepada ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa DHA membantu meningkatkan kepintaran dan fungsi mental, ia amat berguna kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran.

Penyelidikan yang dijalankan di Purdue University cuba mengukur kebenaran itu. Mereka mengkaji kandungan asid lemak di kalangan 100 pelajar lelaki berusia di antara 6 hingga 12 tahun. Mereka mendapati kanak-kanak yang mempunyai kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi tidak mempunyai masalah dalam pembelajaran.

Selain baik untuk perkembangan minda kanak-kanak, ikan juga membantu melambatkan penurunan mental yang berhubungan dengan penuaan. "Penurunan itu jika dilihat dari kaca mata usia sama dengan tiga hingga empat tahun lebih muda," ujar Martha Clare Morris, saintis dari Amerika Syarikat (AS).



KEBAIKAN sumber omega-3 dalam ikan dijadikan pil suplemen.


Dalam kajian mereka, seramai 4,000 responden berusia sekurang-kurangnya 65 tahun dipantau perkembangan mereka selama enam tahun dengan diet terpilih. Selepas tempoh itu, mereka mendapati kumpulan responden yang mengambil ikan dalam jumlah tiga kali seminggu mempunyai daya ingatan lebih kuat dan mental yang cerdas.

Selain itu, ikan juga dikaitkan sebagai pelindung daripada artritis reumatoid. Penduduk di negara yang paling kurang diserang artritis iaitu Jepun dan orang Eskimo didapati menjadi penggemar setia ikan.

Bagaimanapun seperti yang dijelaskan pada awal tadi, beberapa jenis ikan yang menyediakan sumber nutrisi paling baik - kaya dengan omega-3 termasuklah salmon, tuna, makerel, kod dan halibut.

Ikan-ikan yang dikategorikan kurang berlemak pula termasuklah siakap, kerisi, merah, kerapu dam jenahak.

ADHD - Attention-Deficit Hyperactivity

Sesuatu pencarian untuk mengatasi masalah ADHD atau Attention-Deficit Hyperactivity atau mudah dikenali sebagai "hyper aktif" memerlukan kesabaran ibubapa dan guru. Setiap individu memerlukan terapi yang berbeza mengikut keserasian masing-masing. Namun apa yang penting masyarakat tidak terlalu ekstrem memberi pandangan tanpa merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam hal-hal yang berkaitan. Masyarakat tidak sepatutnya segera memberi pandangan berdasarkan sesuatu yang mereka sendiri samar dan kurang jelas.
Barangkali penggunaan haiwan seperti anjing yang dianggap setengah masyarakat kita adalah seekor haiwan yang dipandang jijik dan bukan menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai binatang peliharaan di dalam rumah kerana hal-hal yang berkaitan dengan agama. Namun adakah itu yang sebenarnya?
Namun apabila seorang pendakwah Islam di Al-Khaadem berani mencuba sesuatu yang dianggap terbaik untuk memulihkan anaknya yang mengidap ADHD dengan caranya tersendiri dan terbukti berhasil.
Usaha ibubapa sebegini yang sentiasa mencari dan meneroka untuk mencari kaedah terapi yang serasi dan sesuai untuk anak mereka adalah sesuatu yang terpuji dan perlu dicontohi.
Sila klik berita di bawah ini untuk kita sama-sama kongsi pengalaman itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0710&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

Sabtu, 12 Julai 2008

Bahaya Minuman Berkarbonat

Populariti minuman berkarbonat umum mengetahuinya samada di kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak. Disertai dengan iklan di media massa yang cukup menarik. Populariti minuman berkarbonat sentiasa mendapat tempat di kalangan pengguna yang kurang mengambil berat tentang aspek kesihatan tubuh badan mereka. Sesuatu yang merisaukan apabila sikap rakyat negara ini yang terlalu gemar kepada minuman jenis ini, yang lebih mesra dipanggil ‘air gas’ dalam bahasa pasar.

sejak tujuh tahun yang lepas, kadar obesiti rakyat negara ini meningkat daripada 20 peratus kepada 39 peratus, sesuatu yang membimbangkan kita, kerana pengambilan minuman ini juga menyumbang kepada masalah berkenaan.Artikel itu juga menyebut bahawa hanya 14 peratus daripada rakyat Malaysia, mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat. Ini nyata merupakan satu hakikat yang menggusarkan kerana rata-rata mereka yang ketagih minuman berkarbonat ialah remaja dan kanak-kanak sekarang ini.

Berbagai jenama sering dipaparkan dalam media massa. Walau apapun jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama — Mengandungi banyak gula. Satu tin air berkarbonat, mengandungi kira-kira 10 sudu gula, hampir dua kali melebihi pengambilan yang disarankan oleh pakar pemakanan, iaitu enam sudu gula sehari, bergantung kepada pekerjaan dan kegiatan harian yang dilaksanakan.

Tarikan iklan yang menceritakan ‘keasyikan’ dan ‘kehebatan’ menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan. Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga kini mula menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah. Sedar atau tidak, kini kanak-kanak mula akan menjadi mangsa kerana kealpaan dan sikap suka mengambil mudah kita terhadap aspek kesihatan anak-anak. Jesteru, kanak-kanak mula menjadi antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa. Kita mula memberi penyakit kepada mereka tanpa kita sedari.

Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti. Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.
Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok.
Obesiti di kalangan kanak-kanak membimbangkan
Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.
Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry keluaran Julai/Ogos 2004 di Washington mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.

Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini. Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.
“Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula."
Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.
“Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan."
“Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain,” katanya.
Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan ‘mencairkan’ kepekatan minuman berkarbonat.Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.
Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai.
Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah ‘bahan perangsang’ yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.

Prof. Suhaila Mohamad dari Fakulti Sains dan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam satu kajiannya berkata, kafein bersifat ’Diuretic’ (tindakan yang menyebabkan banyak air dikumuhkan). Menurut beliau, lazimnya sifat yang diuretic menyebabkan individu yang mengambil kafein akan kerap membuang air kecil.

Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Pantai, Kanimolli Arasu pula berkata kesan akibat pengambilan kafein bergantung kepada kekerapan dan jumlah pengambilan bahan itu.
"Ia mempunyai kesan lebih tinggi kepada kanak-kanak kerana saiz tubuh mereka yang kecil. Justeru, kafein cepat diserap dan mudah diedarkan kepada seluruh badan dalam masa yang singkat pada kanak-kanak berbanding orang dewasa," jelasnya.
Beliau berkata, secara umum, kanak-kanak yang mengambil terlalu banyak kafein seperti minuman berkarbonat akan kurang minum susu. Ini menyebabkan pengambilan nutrien seperti kalsium berkurangan.
Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.
Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan. Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.

Artikel-artikel bebas yang mengatakan minuman berkarbonat daripada beberapa jenama terkenal mengandungi bahan haram seperti ekstrak babi dan sebagainya.
Salah satu daripadanya turut mengatakan bahawa minuman berkarbonat (dalam tin) mengandung peluntur yang cukup kuat hingga mampu digunakan untuk membersihkan mangkuk tandas kediaman kita.
Ia menjelaskan, ini dapat dilakukan oleh kerana kandungan asid sitrik (citric asid) yang tinggi dalam minuman berkarbonat.
Artikel tersebut, juga mendakwa bahawa sebotol minuman berkarbonat juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah karat. Sejauh mana kebenaran artikel-artkel tersebut bagaimanapun tidak diketahui.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat. Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong. Janganlah kita memberi penyakit kepada anak-anak tanpa kita sedari. Biarkanlah mereka menangis hari ini kerana tidak mendapat air berkarbonat yang mereka sukai. Jangan kita sebagai ibubapa menangis kerana anak kesayangan kita terlantar sakit pada masa akan datang.

Selasa, 1 Julai 2008

Memahami Disleksia

Disleksia terdiri daripada dua perkataan Yunani iaitu "DYN" bermakna susah, dan "LEXIA" bermakna tulisan. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu dyslexia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang dengan disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan orang lain dengan disleksia.

Masalah Disleksia adalah berbeza dengan Afasia, yang merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kerosakan saraf otak, dengan itu akan melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi.

Perkataan disleksia diambil daripada istilah Yunani, dys yang bermaksud 'sulit dalam...' dan lex (diambil daripada legein) yang bermakna 'bercakap'. Secara kesimpulannya, disleksia bermakna menderita kesukaran yang berhubungan dengan kata atau simbol-simbol tulisan.
Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.

Ciri - ciri disleksia

  1. Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
  2. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
  3. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
  4. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'p' dan 'p' dianggap 'q'.
  5. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
  6. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan snediri tanpa memikirkan orang lain.
  7. Sering berlaku di kalangan lelaki.
  8. Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
  9. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-punca disleksia

Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.

Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.

UBAT AJAIB MENINGKATKAN IQ

Puasa merupakan ubat ajaib semulajadi yang tertua sekali, yang diketahui dan diamalkan oleh manusia. Hampir semua agama menganjurkan penganutnya supaya berpuasa menurut kaedah masing-masing. Puasa adalah antara rahsia cendiakawan Islam silam yang terulung memperolehi kecemerlangan daya ingatan dan kehebatan daya kecerdasan. Kekenyangan itu menumpulkan fikiran, kelaparan menajamkan fikiran.

Imam Syafie terkenal dengan kepintaran dan kekuatan hafazan. Ketika berusia 15 tahun, beliau sudah bertaraf ulama' besar dan layak memberi fatwa. Belaiu sentiasa mengamalkan puasa sunat. Pada suatu hari, beliau menceritakan bahawa beliau sudah 16 tahun tidak pernah kenyang. Dengan mengamalkan 'rahsia ajaib' inilah, para serdik pandai Islam pada era kegemilangan Islam dahulu menjadi terlalu pintar dan 'genius'. Kebanyakan mereka mula berpuasa sunat sebelum mencecah usia 'baligh' dan diteruskan sehingga ke akhir hayat mereka.
Puasa merupakan 'keajaiban dari langit' kerana mempunyai kuasa yang menakjubkan, bukan sahaja ia mampu menguatkan mental bahkan fizikal, jiwa dan perasaan. Puasa digunakan oleh ahli-ahli kerohanian Islam yang dikenali sebagai sufi dan ahli-ahli kebatinan untuk memperkuatkan jiwa dan kerohanian mereka. Bahkan seorang tokoh kebatinan berkata, "Jika seseorang ingin mendapat keramat atau melakukan perkara-perkara yang ajaib, maka hendaklah dia berpuasa selama satu tahun dan enam bulan secara terus-menerus. Hasilnya rohnya akan menjadi terlalu kuat sama seperti roh-roh di langit dan dia boleh membebaskan diri seperti berjalan di atas air, terbang di udara, tak lut dibakar api dan sebagainya."

Anda tidak digalakkan melakukannya. Saya cuma anda memetik kesimpulannya, " Bahawa di dalam puasa, terdapat keajaiban yang luar biasa yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia. Ia mampu melahirkan kekuatan fizikal, mental dan kerohanian yang luar biasa."

Tahukah anda bahawa pada setiap hari, lebih enam juta penduduk Amerika Syarikat berpuasa untuk pelbagai tujuan !! Antaranya ialah untuk mendapat awet muda, mengurangkan berat badan, mendapat tubuh badan yang menarik, MENINGGIKAN KECERDASAN MENTAL, berjimat, kesihatan tubuh badan, selaku 'overhaul tubuh', menurunkan tekanan darah, mengurangkan ketegangan, menurunkan kadar kolestrol, meningkatkan tenaga batin dan ghairah seksual, mengurangkan stress, tidur lebih nyenyak, memberi kesempatan kepada tubuh untuk menyembuhkan penyakit dan mengurangi kebergantungan terhadap ubat-ubat bius, pil tidur, narkotik dan segala jenis dadah.

Jadi, terbuktilah kebenaran hadis nabi s.a.w., "Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat." (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nuaim daripada Abu Hurairah ra.). Tabib-tabib Islam juga mengeaskan bahawa perut (ma'idah) merupakan punca dan sumber segala penyakit. Kalau sihat ma'idah, sihatlah badan keseluruhannya. Puasa adalah cara yang terbaik untuk merehatkan beban kerja ma'idah dan beberapa organ di dalam tubuh badan seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lain. Kerehatan ini amat perlu untuk memulihkan prestasi organ-organ tersebut. Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah bersabda, "Perut itu rumah segala penyakit manakala puasa adalah raja segala ubat. Oleh itu, jadikanlah ia kebiasaan kamu."

Ahli-ahli perubatan Islam, Timur dan Barat berjaya membuktikan bahawa puasa boleh menyihatkan tubuh badan, mental dan rohani. Terdapat ahli-ahli perubatan Barat menggalakkan setiap orang, sama ada sihat atau sakit supaya berpuasa dua hari pada setiap minggu. Ini sangat bertepatan dengan agama Islam yang menganjurkan supaya umatnya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu. Institut Rawatan Kesihatan di India pula menganjurkan supaya rakyatnya berpuasa sekali seminggu untuk mempertingkatkan kesihatan. Melalui amalan tersebut, ia dapat merangsang pertumbuhan hormon, memberikan daya tahan penyakit, merehatkan sistem penghadaman selama sehari dan membantu MENAJAMKAN FIKIRAN.

Penyelidik-penyelidik perubatan menemui bahawa puasa merupakan satu kaedah yang terbaik dalam merawat penyakit dan sebagai penjagaan dari penyakit. Ia dibuktikan dapat membersihkan tubuh badan dari toksid-toksid atau racun-racun. Ia juga membersihkan sisa-sisa makanan yang tidak berguna di dalam perut dan usus di mana sekiranya dibiarkan maka ia akan menjadi sarang kepada kuman yang membawa pelbagai penyakit serius. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor Amerika, "Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut."

Menurut ilmu biologi, sewaktu perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat melakukan tugasnya dengan baik. Ini disebabkan tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti yang menggunakan otak seperti berfikir atau membaca ketika kenyang, kita menjadi mengantuk dan lemah daya fikiran. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Atau dengan kata lain, ketika kita sedang berpuasa, aliran darah kepada organ-organ pencernaan berkurangan kerana ianya kurang diperlukan. Dengan demikian, darah dari organ-organ pencernaan akan mengalir serta tertumpu ke otak. Ini menjadikan otak lebih 'pick-up', bertenaga dan daya fikiran menjadi tajam.

Sebab itulah para ulama', sami, paderi dan pendita dari agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lainnya kebanyakan mengamalkan makan sedikit sahaja. Amalan sedemikian menyebabkan mereka dapat memberikan tumpuan yang baik terhadap pembelajaran dan pengajaran agama mereka.

Luqman Al-Hakim menasihati anaknya, "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.". sewaktu bersekolah, ustaz saya selalu berkata, "Tegang urat perut, kendur urat mata." Maksudnya apabila perut dalam kekenyangan, mata pun mula mengantuk dan kita menjadi malas.

Sahabat Nabi s.a.w., Abdullah b. Mas'ud berkata, "Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan."

Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempergaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

Sekiranya anda mempunyai impian untuk menjadi manusia yang bijak, amalkan 'rahsia' ini. Namun begitu, sebelum anda dapat memetik hasilnya, ianya perlulah menjadi amalan rutin anda terlebih dahulu. Nah, mulai sekarang amalkan berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis setiap minggu.