CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Ahad, 21 September 2008

Hidroterapi

SINOPSIS

Terapi hidro di lihat sesuai untuk perkembangan fizikal kerana kombinasi pergerakan motor kasar dan halus serta mental murid dapat dirangsang secara serentak. Pergerakan dalam air didapati lebih mudah dan bebas serta tidak dibebani oleh keperluan alatan sokongan selain daya apungan air sahaja.

Rangsangan air yang secara semulajadi dapat membantu murid tenang walaupun pada permulaannya sesetengah murid akan berasa takut untuk masuk ke dalam air. Perkara ini dapat diatasi dengan membawa murid ke kawasan cetek sebelum berpindah ke kawasan yang lebih dalam.

Secara tidak langsung guru-guru telah melatih membina keyakinan diri murid-murid "water confidence".

Melalui terapi seumpama ini, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal dengan aktiviti-aktivi seperti regangan seterusnya melembutkan sendi dan meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot rangka.
Biasanya aktiviti ini dijalankan di kolam renang, bagaimanapun SKAL mengambil langkah proaktif dengan mencubanya di laut. Didapati aktiviti ini lebih baik dilakukan di laut/pantai. Selain faktor suasana alam sekeliling yang tenang boleh menjadi terapi minda, kemasinan air laut berupaya membantu murid meningkatkan daya imunisasi.
OBJEKTIF

Aktiviti berenang dapat memberi keseronokan dan menggembirakan murid-murid bermasalah pembelajaran ketika berada di dalam kolam atau air di samping dapat membentuk sikap kerjasama dengan rakan-rakan mereka.

Ia juga membolehkan murid-murid bermasalah pembelajaran memperolehi kemahiran renang sama seperti murid-murid normal. Selain itu, renang juga merupakan salah satu latihan latihan terapi (Hidroterapi/Terapi Air) bagi murid-murid PKBP ini.


DEFINISI DAN KONSEP

Hidroterapi didapati sesuai untuk perkembangan fizikal dan pergerakan motor kasar dan motor halus serta mental murid-murid berkeperluan khas di mana segala otot-otot dan otak mereka dapat dirangsang, pergerakan dalam air lebih mudah dan bebas, serta tidak dibebani seperti keperluan alat sokongan yang menghadkan pergerakan.

Imbangan dalam air bukanlah masalah utama. Oleh itu lebih banyak pergerakan dapat dilakukan dan daya penumpuan individu dapat dipertingkatkan dan masalah tingkahlaku didapati tidak seperti lazimnya. Ini disebabkan oleh ransangan air secara semulajadi.

Walaubagaimanapun, murid-murid PKBP mungkin mengalami sedikit rasa takut dengan air. Di sinilah guru memainkan peranan membantu dalam membina keyakinan diri.

Hasilnya murid-murid akan dapat membina konsep diri yang positif melalui aktiviti hidroterapi ini. Melalui hidroterapi juga, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui pelbagai aktiviti seperti regangan, melembutkan sendi-sendi, meningkatkan daya ketahanan otot-otot dan jantung.

Banyak aktiviti dan pergerakan yang tidak dapat dilakukan di darat dapat dipraktikkan di dalam air.

Dalam hubungan ini, hidroterapi dapat meneroka pergerakan-pergerakan yang boleh dilakukan oleh murid-murid PKBP ini. Bagi sesetengah murid, mereka didapati lebih berkeyakinan di air berbanding di darat.

Kejayaan sesuatu program pengajaran bergantung pada prosedur pengajaran yang jelas, sokongan dan garis panduan yang diberi. Walau bagaimanapun garis panduan adalah sama untuk semua, hanya penyesuaian dan modifikasi diperlukan terhadap individu berkeperluan yang unik ini.


KEPENTINGAN HIDROTERAPI

Hidroterapi merupakan suatu bidang yang agak luas bertujuan untuk mengembalikan, memelihara dan memulih keadaan emosi, fizikal, psikologi dan spiritual kepada keadaan yang lebih baik atau normal.

Antara kepentingan hidroterapi ini ialah:

i. Menghilangkan tekanan
ii. Keupayaan berkomunikas
iiii. Simulasi sistem otak
iv. Bina keyakinan diri
v. Kreativitivi. Kawalan diri
vii. Latihan ‘Social skill’
viii. Merangsang pertuturan
ix. Melatih sikap bekerjasama
x. Meningkatkan kesabaran
xi. Pengamatan
xii. Latihan koordinasi badan dan anggota badan yang lain
xiii. Latihan daya kepimpinan
xiv. Manipulasi tangan dan jari-jemari
xv. Daya konsentrasi
xvi. Pembentukan ‘body image'
xvii. Peningkatan ‘self-esteem’


PANDUAN KESELAMATAN

Sebelum menjayakan aktiviti renang untuk murid-murid PKBP ini, faktor yang paling penting dan perlu diambil kira adalah faktor keselamatan TERUTAMA bila melakukan aktiviti ini di laut atau pantai yang mempunyai jangkauan pemerhatian yang luas diperlukan untuk diberi perhatian.

Perancangan dengan tenaga pengajar dan pembantu pengendali adalah dituntut supaya dapat membuat pelan tindakan aspek keselamatan murid ketika berada di laut.

Kita melihat faktor keselamatan ini dalam sudut ketidakupayaan fizikal dan tahap ketidakupayaan intelektual murid-murid tersebut.

i. Ketidakupayaan Fizikal


Guru hendaklah berada di dalam air dan bersedia untuk menerima murid ke dalam kolam atau laut. Semasa berada di dalam air hendaklah dalam kedudukan berdiri dengan kaki terbuka dan kepala berada di atas paras air.

Gunakan bahagian atas badan untuk mengawal imbangan dan sentiasa apungkan badan. Elakkan daripada menunjukkan perasaan bimbang kepada murid sewaktu berada di dalam air kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi bimbang dan takut.

Guru perlu sentiasa bercakap dan memberi galakkan kepada murid semasa mereka hendak masuk ke dalam air. ‘Eye Contact’ boleh membantu membina keyakinan murid. Latihan hendaklah dimulakan dengan memasuki kawasan sudut kolam atau laut yang cetek dahulu.
Guru kemudian membantu murid melakukan gerakan di bahagian kaki dan disusuli membuat kuakan di bahagian bahu.

ii. Ketidakupayaan Intelektual


Ketidakupayaan intelek juga dialami oleh murid PKBP di mana tahap tumpuan yang singkat menyebabkan maklumat yang diberi tidak dapat disimpan dengan sempurna. Oleh itu, penjelasan guru perlulah ringkas dan tepat.

Ada murid-murid PKBP yang kurang persepsi kemahiran motor dan persepsi mengenai jarak atau kedalaman kolam renang atau aras kedalaman laut. Maka persepsi yang tepat dan betul perlu disampaikan kepada mereka. Langkah ini perlu supaya murid dimaklumkan kawasan yang berbahaya yang perlu dijauhi. Biasanya bila aktiviti ini dilakukan dilaut, beberapa "boya" dipasang sebagai tanda kawasan yang perlu murid jauhi.

Guru juga harus ingat bahawa murid-murid PKBP tidak mempunyai pencapaian kemahiran yang sama, namun pada satu keadaan atau ketika mereka mungkin boleh menguasainya.


AKTIVITI REKREASI RENANG/HIDROTERAPI

i. Pendahuluan

  • Memanaskan badan dan meregangkan otot.

  • Mengenakan jaket keselamatan. Murid yang tidak memakai jaket keselamatan adalah tidak dibenarkan sama sekali turun ke laut jika aktiviti ini dilakukan dilaut. Ketegasan diperlukan untuk langkah keselamatan.




ii. Isi Pelajaran

  • Bermain-main di tepi air.
  • Murid masuk ke dalam kolam/laut dengan bantuan guru dengan cara yang betul
  • Guru membantu murid mengadakan aktiviti-aktiviti ampungan.
  • Melakukan aktiviti berjalan di dalam kolam dengan bantuan guru.
  • Aktiviti renang dengan bantuan guru.
  • Aktiviti renang bebas menggunakan bola dengan pemerhatian guru.
  • Murid keluar daripada kolam/laut dengan menggunakan kaedah tertentu.


iii. Penutup

  • Aktiviti kelonggaran dan regangan tangan dan kaki.
  • Memastikan peralatan yang dibawa tidak dibiarkan tertinggal
  • Mengemas dan membersihkan diri.

SKAL telah berjaya mencuba sesuatu yang asing sebelum ini untuk mencari alternatif aktiviti yang kondusif dan interaktif kepada murid-murid PKBPnya. Lebih membanggakan apabila kami memahat sejarah sekolah pertama di Terengganu yang mencuba kaedah ini di pantai/laut. Kini ianya mula mendapat perhatian masyarakat dan strategi kami mula berjaya. Membitarakan kelas ini sebagai kelas bagi murid-murid yang dihormati. Bukan murid kelas ketiga dalam masyarakat pendidikan setempat.