CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Isnin, 5 Januari 2009

Latih daya tumpuan kanak-kanak

KANAK-KANAK sering tidak dapat memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.

Walaupun tidak dianggap sebagai penyakit, ia tetap membimbangkan ibu bapa. Tiada guna si kecil itu dipukul atau dimarahi sebaliknya cuba cara berikut yang disarankan Pensyarah Fakulti Psikologi, Universiti Chung San, Profesor Gao Ting Kok.

Katanya, daya tumpuan kanak-kanak boleh mula dilatih sejak mereka berusia satu hingga dua tahun. Apabila bercerita, pastikan cerita berkenaan pendek, bahasanya pula berkaitan dengan kanak-kanak selain penggunaan gambar warna-warni.

Untuk kanak-kanak berumur antara tiga hingga empat tahun, mulakan aktiviti mudah misalnya mencantum gambar. Kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun pula boleh diminta melengkapkan sesuatu kerja dalam jangka waktu ditetapkan.

Kanak-kanak juga boleh mengulangi cerita yang lebih kompleks yang sudah diceritakan kepada mereka.

Apabila mereka sudah memasuki bangku sekolah, latihan perlu ditekankan kepada mempelajari matlamat pembelajaran lebih khusus dan memupuk minat yang lebih stabil.

Anak juga perlu kerap melakukan kerja rumah kerana ia boleh membantu menguatkan daya tumpuan.

Di peringkat sekolah menengah pula, mereka akan mengalami perubahan biologi dan psikologi menyebabkan emosi mudah terganggu.

Justeru, apabila anak-anak tidak dapat memberi tumpuan, usah marahkan mereka dengan nada suara yang tinggi. Sebaliknya, ibu bapa boleh melakukan aktiviti yang membantu meningkatkan daya tumpuan mereka seperti bermain ping pong dan badminton.

Menurut Profesor Gao, kajian menunjukkan ping pong dan badminton membolehkan tumpuan diberi pada objek yang bergerak untuk jangka masa yang panjang sekali gus menjadikannya cara yang baik untuk meningkatkan daya tumpuan secara berterusan.

Sekiranya anak tidak dapat menumpukan perhatian yang lama ketika pembelajaran, cuba kaedah berikut:

  • Lakukan beberapa aktiviti yang saling tidak bercanggah misalnya mempelajari perkataan bahasa Inggeris ketika menggosok gigi.
  • Pilih persekitaran lebih sunyi untuk tujuan pembelajaran.
  • Jika keadaan mengizinkan, kunyahlah gula-gula getah. Mengikut kajian psikologi terkini, mengunyah gula-gula getah boleh membantu meningkatkan daya tumpuan untuk jangka masa panjang.

sumber: Harian Metro Online 5 januari 2009