“Pengambilan makanan segera sejak usia bayi lagi menyebabkan sistem badan kita lemah dari awal lagi kerana kita sudah terdedah kepada kandungan gula, garam dan lemak yang melebihi paras minimum yang diperlukan badan kita.”
“Tidak keterlaluan jika kita letakkan tahap bahaya makanan segera sama taraf atau lebih tinggi lagi berbanding rokok atau minuman keras,”
“Dua puluh tahun lalu, hanya enam peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu (kencing manis), tetapi kini sudah meningkat kepada sembilan peratus dan jika amalan mengambil makanan segera berterusan, tidak mustahil jumlah pesakit akan meningkat 12 hingga 13 peratus pada 2020 nanti,” katanya.
Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah"(Surah Al-Baqarah ayat 172)
Pelbagai Makanan Ringan
Kek dan kuih-muih mengandungi kadar gula yang tinggi dan kadar vitamin serta zat-zat logam yang amat rendah.
Minuman jenis cola juga mengandungi lebihan gula dan kadangkala ia dicampurkan dengan sejenis dadah yang boleh membawa kepada ketagihan, iaitu kafeina. Ais krim pula mengandungi banyak gula dan lemak.
Minuman jus buah-buahan yang dijual di dalam botol kebanyakannya tidak mengandungi jus buah-buahan asli, sebaliknya mengandungi banyak gula, air, bahan pewarna dan perisa tiruan. Kentang goreng atau potato chips pula mengandungi kadar lemak dan garam yang tinggi yang memudaratkan (The Smart Food, Junk Food, The Learning Network Inc, 2001, factmonster.com/ipka/A0768674.html)
Makanan Ringan Dan Darah Tinggi
Makanan ringan amat berbahaya kepada kesihatan apatah lagi apabila ia diambil selalu. Pengkaji-pengkaji dari Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakersfield California, dan Prevention Concepts, Inc. di Los Angeles, pernah menjalankan satu kajian yang melibatkan 200 pelajar sekolah dan mendapati lapan daripada sepuluh pelajar-pelajar itu mengambil lebihan lemak tepu melalui makanan ringan. Ujian makmal menunjukkan, satu pertiga daripada mereka mengandungi kadar kolesterol di dalam darah yang tinggi dan 10% daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi.
Makanan Ringan Dan Asma
Di dalam kajian yang lain, ahli-ahli sains dari Scotland dan Saudi Arabia mendapati makanan ringan merupakan penyebab utama berlakunya peningkatan penyakit alahan dan asma di kalangan kanak-kanak. Kajian ini yang melibatkan 100 kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit asma dan 200 kanak-kanak lain yang tidak menghidapnya mendapati, mereka yang kurang mengambil sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu lebih mudah diserang penyakit ini. Kes-kes asma didapati meningkat sebanyak 50% di dalam jangka masa 10 tahun (Junk Food Linked to Child Asthma, Richard T. Herrick (MD), Titan Support Systems Inc, USA, 1998, titansupport.com/people/medical/childasthma).
Makanan Ringan Dan Sakit Jantung
Makanan ringan berbahaya kepada jantung. CNN.com.health bertarikh 14 Mac 2000 melaporkan, makanan} ringan meningkatkan risiko remaja menghidap sakit jantung. Ia berpunca daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat di dalam makanan ringan pada hari ini. Penemuan ini dibentangkan di dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim, California (CNN.com.health, Study: Junk Food Raises Teens' Risk Of Heart Disease, Elizabeth Cohen, March 14, 2000, .cnn.com/2000/HEALTH/03/14/teen.arteries/
Makanan Ringan Dan Kesan Pada Otak
Makanan ringan juga boleh merosakkan fungsi otak. Satu kajian telah di lakukan di Baycrest Centre for Geriatric Care di Universiti Toronto, Kanada, berhubung dengan perkara ini. Mereka mendapati makanan ringan yang memang mengandungi lebihan lemak, merosakkan daya konsentrasi dan ingatan otak. Hal ini disebabkan, otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik sedangkan lebihan lemak mengganggu peranan glukosa itu.
Makanan Ringan Dan Buta
Mereka yang banyak mengambil makanan ringan yang tinggi kadar lemaknya, menghadapi risiko yang tinggi menjadi buta apabila berumur dalam lingkungan 55 tahun. Penyakit ini yang dikenali sebagai macular degeneration sering menyerang perokok-perokok namun sekarang ia juga menyerang peminat-peminat makanan ringan.
Penemuan ini yang dimuatkan di dalam Archives of Ophthalmology, dilaporkan oleh pakar-pakar sains dari Massachusetts Eye And Ear Infirmary di Amerika, selepas melakukan kajian ke atas 349 orang pesakit yang berumur di antara 55 hingga 80 tahun. Semua ini mengesahkan tentang bahaya makanan ringan yang popular di kalangan masyarakat moden pada hari, justeru pengambilannya perlu dikawal sebelum kemudaratan yang lebih teruk menimpa ke atas diri kita (ABCNEWS.com, Blinded by Junk Food? Study: Snacks May Be Bad For Vision, Aug. 15 2001,
abcnews.go.com/sections/GMA/GoodMorningAmerica).
Tambahan daripada itu, kajian oleh para saintis dari Universiti Oxford, England, mendapati pengambilan makanan ringan juga meningkatkan peratus keganasan dalam masyarakat. Peningkatan ini begitu ketara dalam masa 50 tahun ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekurangan khasiat-khasiat tertentu, terutamanya omega-3, jika seseorang banyak mengambil makanan ringan. Omega-3 membantu di sudut pengawalan emosi seseorang.